Thursday, June 10, 2010

Tips berjimat cermat ketika membeli-belah

Tips berjimat cermat ketika membeli-belah

Zaazz...tajuk skema giler..huahua..sebenarnye bile duk tgh2 borink gini , best jugak klu tulis2 mende2 mcm ne..sbnarnye ak bukn saje2 tulis artikel ne, tp disebabkn ade org bg upah suruh wat artikel pasal mende ne, ak pn wat je la..lame betui x tulis karangan mcm ne.,.kah2..kat bawah hasil nukilan aku yg serba serbi kekurangan tu..huahua



Istilah berjimat-cermat sering diuar-uarkan oleh pihak kerajaan pada ketika ini. Adakah masyarakat Malaysia tidak tahu berjimat-cermat? Sebenarnya berjimat-cermat merupakan istilah keramat yang memacu kepada kejayaan sesebuah bangsa dan negara.Tanpa amalan tersebut maka tidak mustahilah negara akan terdedah kepada krisis ekonomi,maka mundurlah ekonomi negara tersebut. Dalam konteks ini, semua individu dalam sebuah negara memainkan peranan penting dalam mengamalkan amalan berjimat-cermat.Terdapat banyak faedah yang diperoleh daripada amalan itu. Salah satu medium penjimatan yang perlu dilakukan adalah ketika membeli-belah. Memang tidak dinafikan aktiviti beli-belah ini akan memberikan impak yang cukup besar dalam menentukan sama ada kita mampu mengawal aliran wang keluar dalam kehidupan seharian. Tidak salah untuk kita membeli-belah, cuma seharusnya ada satu kesedaran tentang pentingnya berjimat cermat bak kata pepatah “beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis”. Namun, yang menjadi persoalannya sekarang, bagaimana untuk berjimat-cermat ketika membeli-belah?


Perancangan awal sebelum keluar membeli-belah seharusnya menjadi wadah yang paling penting dalam menentukan penjimatan yang semaksimum mungkin. Apa pentingnya perancangan ? Sebenarnya dalam hidup ini, kita tidak akan dapat lari dari membuat perancangan meski sekecil mana pun sesuatu hal yang ingin kita laksanakan. Perbuatan merompak bank yang sekeji-keji perbuatan pun memerlukan perancangan rapi, apatah lagi aktiviti beli-belah yang menjadi rutin harian masyarakat sekarang. Sedar tak sedar, apabila kita merancang perbelanjaan, kita akan jelas dan nampak apa yang patut dan apa yang tidak patut kita beli. Dalam realiti hidup seharian, suami dan isteri dalam sesebuah keluarga contohnya seboleh-bolehnya duduk berbincang sekali dalam merancang perbelanjaan. Sediakan satu kertas dan senaraikan barang-barang yang ingin dibeli mengikut tahap prioriti yang paling penting untuk dibeli ke tahap yang tidak penting dibeli. Barangan keperluan asas seperti beras, gula dan sebagainya seharusnya menjadi barang yang patut diutamakan. Barangan seperti baju baru, sofa baru dan barang-barang lain yang langsung tidak memberi manfaat bersama patut diketepikan dahulu. Perancangan perbelanjaan ini juga perlu mengambil kira aspek aset dan liabiliti yang dimiliki sesuatu keluarga juga. Konsep simpanan 10% daripada pendapatan keluarga patut menjadi pegangan. Jangan jadikan amalan berbelanja melebihi pendapatan yang diperoleh semata-mata kerana nafsu, kelak merana diri bak kata pepatah, menang sorak kampung tergadai. Dengan adanya perancangan ini, seharusnya akan menjadi langkah bijak kepada sesiapa pun dalam menguruskan penjimatan ketika membeli-belah.



Langkah seterusnya yang juga penting adalah dengan membuat perbandingan harga di kedai-kedai yang dikunjungi. Istilah “berkenan di hati, terus beli” atau “tengok sekali, terus beli” seharusnya dielakkan dengan penuh hemah kerana jika tidak kena dengan caranya akan memberikan impak besar dalam perbelanjaan semasa membeli-belah. Sebagai contoh, jika barang yang kita berkenan itu harganya mahal namun kita terus membelinya tanpa membandingkan harga di tempat-tempat lain, resolusi untuk penjimatan maksimum akan terlerai, malah mungkin akan menyebabkan berlakunya lebihan perbelanjaan. Sama juga halnya dengan “tengok sekali, terus beli” kerana perbuatan tersebut akan merugikan kita. Apa alibinya? Cuba anda bayangkan, anda ingin membeli sesuatu barangan misalnya, katakan harga barang tersebut di kedai A ialah RM 40, tetapi kedai B menawarkan harga RM 35. Jika anda bertanya kepada adik anda yang masih bersekolah rendah sekalipun harga yang mana satu paling rendah nilainya, nescaya dia akan menjawab RM 35. Jadi, tidak ada alasan bagi anda untuk tidak berjimat cermat walaupun perbedaannya hanya sedikit, bak kata pepatah sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Penjimatan yang sedikit itu akan menjadi pelaburan yang besar di masa depan sekiranya amalan berjimat cermat menjadi amalan hidup.



Langkah terakhir merupakan langkah yang rata-rata masyarakat sekarang tidak menyedarinya iaitu penggunaan kad kredit secara berlebihan. Ramai yang tertanya-tanya, apa kaitan kad kredit dengan amalan berjimat-cermat? Untuk makluman bersama, dalam kata mudahnya, istilah kad kredit merujuk kepada satu kad yang diperoleh menerusi mana-mana institusi kewangan seperti bank yang digunakan untuk memudahkan perbelanjaan sesiapa sahaja, hanya guna kad tersebut untuk membeli sesuatu barangan tanpa bersusah payah mengeluarkan wang kertas di tangan. Namun, kelebihan kad kredit ini tidak seharusnya mengaburi mata kita yang seharusnya menjadi pengguna bijak dalam menguruskan kewangan. Kad kredit sebenarnya menjadi duri dalam daging kepada sesiapa yang tidak bijak mengawal penggunaannya. Untuk lebih jelas, bayangkan sekarang anda berada di salah satu kedai perabot untuk menggantikan dua perabot kecil yang rosak di rumah anda. Pada asalnya, anda hanya ingin membeli dua perabot kecil sahaja, tetapi memandangkan anda mempunyai kad kredit, anda terus menggunakannya untuk membeli perabot yang lain pula setelah wang di tangan telah habis. Keadaan akan menjadi lebih parah sekiranya anda tidak membayar hutang kad kredit itu. Saat inilah kad kredit menjadi ancaman kepada usaha anda untuk berjimat cermat. Realiti semasa mungkin dapat menyedarkan anda tentang keburukan kad kredit. Sebagai contoh, Amerika Syarikat dilanda masalah kewangan yang amat teruk disebabkan hutang kad kredit berlambak-lambak yang masih belum dibayar oleh pemiliknya yang menjejaskan kestabilan ekonomi di negara tersebut. Natijahnya, anda boleh memiliki kad kredit, namun anda perlu pandai mengawal penggunaannya dan ingatlah bahawa kad kredit ialah kad hutang !



Konklusinya, amalan berjimat cermat semestinya menjadi kewajipan kepada setiap insan bagi memperoleh kualiti hidup yang lebih baik pada masa sekarang dan juga pada masa depan. Ungkapan “malang tidak berbau” patut menjadi ingatan kepada semua kerana tiada sesiapapun yang mengetahui akan musibah yang bakal dihadapi pada masa akan datang. Sejajar dengan itu, amalan berjimat-cermat boleh membantu masyarakat sebagai suatu persediaan apabila menghadapi waktu kecemasan seperti perbelanjaan merawat pembedahan, kemalangan dan penyakit kronik yang dialami oleh diri sendiri, ibu bapa atau kaum keluarga. Langkah-langkah penjimatan seperti merancang perbelanjaan, membuat perbandingan harga dan mengawal penggunaan kad kredit seharusnya menjadi ikutan semua bagi menjamin kestabilan ekonomi rakyat dan negara.




p/s....zaazz...^_^
Share This

2 comments:

Nas said...

pergh...sungguh padat tips nih...nas pown penah wat artikel cmnie,bese ar dak akaun..ehehee,tp simple..:)
nice post..

Unknown said...

haha..x caye lak leh wat artikel ne..da brape taun tinggal mende2 cam ne..:)

Designed By Blogger Templates